Wednesday, August 25, 2010

Tun Abdullah Ahmad Badawi, Bapa Pembangunan Modal Insan, 2003-2009


Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939, di Kampung Perlis Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak pertama daripada empat orang adik beradik hasil daripada perkahwinan Haji Ahmad Bin Sheikh Abdullah Fahim yang lebih dikenali sebagai Haji Ahmad Badawi dengan Datuk Khailan Binti Hassan. Bapanya berketurunan Arab manakala ibunya berketurunan Cina Islam yang berasal dari Guandong, China. Dato' Seri Abdullah dibesarkan dalam suasana kampung di Kepala Batas dalam keadaan negara yang masih dijajah. Ketika itu masyarakat kampung di Kepala Batas hidup di dalam serba kekurangan dan kemiskinan.
     pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran peringkat Menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Pendidikan agamanya bermula di rumah melalui datuk dan ayahnya Sheikh Abdullah Fahim dan Haji Ahmad Badawi. Beliau meneruskan pengajian diperingkat ijazah kepujian dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964. Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mengahwini Datin Seri Endon Dato' Mahmod pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Kamaluddin dan Nori.

Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bapa Pemodenan, 1981-2003



Tun Dr, Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 20 Disember 1925, di Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu daripada sembilan orang bersaudara dari ibu berketurunan Melayu dan bapanya India Muslim. Kerjaya bapanya sebagai guru besar sekolah mempengaruhi keperibadian beliau sebagai individu yang tegas dan berdisiplin. Begitu juga keperibadian ayahnya yang mempunyai kesedaran sosial yang tinggi bagi memajukan kehidupan khalayak termiskin di desa yang ketinggalan kesan dari sistem ekonomi kolonial turut memberi pengaruh kepada beliau.
 Ketika usianya 21 tahun, beliau banyak menulis artikel di akhbar New Straits Times dan C.h.e. Det merupakan nama samaran yang sering dipakai. "Masalah Bumiputra dan Melayu adalah perkara yang beliau gemar sekali bangkitkan". kemiskinan masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar merupakan tema yang kerap diangkat ke permukaan. Beliau berpendirian penjajah British dan dasar pecah belah dan perintah merupakan halangan utama kemajuan ekonomi bangsa Melayu. "Dr. Mahathir mempunyai kepercayaan dan keyakinan diri yang tinggi dan tidak mudah percaya kepada penjajah walaupun era penjajahan telah berlalu".
 Namun Tun Dr. Mahathir yang terkenal dengan sikapnya yang suka berterus terang mengataan: "pernah suatu ketika kita dituduh sebagai suatu bangsa yang pemalas. kalau mereka boleh berkata demikian dan menyatakannya secara terbuka saya tidak melihat alasan kenapa kita tidak boleh mengatakan keyakinan kita tentang mereka lebih lagi ianya betul dari segi fakta". Beliau juga disifatkan sebagai individu yang penyendiri, pemalu, pendiam, namun pada sesetengah orang menganggap beliau sebagai seorang yang berterus terang, bertindak cergas, berani, teliti, dan punya cita-cita dan disiplin yang tinggi. Apatah lagi dalam perkara yang berkait rapat dengan kehormatan bangsa Malaysia. Hal ini tercermin dari ulasan beliau: Kejayaan bukan mudah dicapai, kepala perlu dihantukkan ke dinding sebelum dinding dapat dipecahkan...ataupun mungkin kepala itu yang akan pecah. Saya rasa kita harus bertindak demikian, saya tidak percaya kita harus mengalah".

Tun Hussein bin Dato' Onn, Bapa Perpaduan, 1976-1981


Tun Hussein Onn lahir di Johor Bharu pada 12 Februari 1922. Beliau merupakan anak sulung kepada Dato' Jaafar dan Datin Halimah Hussein yang mempunyai lapan orang anak, iaitu empat lelaki dan empat perempuan. Tun Hussein Onn lahir daripada keluarga berlatarbelakangkan politik kerana ayah, datuk dan bapa saudaranya pernah menjadi Menteri Besar Johor. Secara tidak langsung darah kepimpinan keluarganya turut mengalir di dalam diri beliau.

Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussien, Bapa Pembangunan, 1970-1976


Tun Abdul Razak lahir pada 11 Mac 1922 di sebuah perkampungan kecil Pulau Keladi, Pekan Pahang. Anak sulung kepada Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Hussein bin Mohd. Taib. Bapanya merupakan salah seorang dari empat orang besar Diraja Phang yang mempunyai hubungan yang erat dengan Istana Pahang. Keluarganya berasal dari keturunan bangsawan Sulawesi Selatan Indonesia, dari suku kaum Bugis Bone yang terkenal mempunyai nilai kesantunan yang tinggi. Oleh sebab itu sedikit sebanyak tabiat dan geraknya masih dipengaruhi oleh faktor kebangsawanannya. Dunia kebangsawanan turut menjadikan beliau seorang yang patuh dengan lingkungan yang teratur.
     Walaupun lahir dalam kalanngan keluarga bangsawan, tokoh ini membesar dalam suasana kampung bersama datuknya di kampung Jambu Langgar. Persekitaran kampung menjadikan beliau seorang yang sederhana, penuh pengertian terhadap kesukaran dan keperitan hidup rakyat di bawah penjajahan British. Beliau juga dapat melihat dengan jelas perbezaan kehidupan golongan bangsawan dan rakyat bawahan. Pendidikan perundangan menjadikan beliau sebagai individu yang begitu memahami prinsip keadilan dan kesaksamaan, Pendidikan tinggi yang dilaluinya di luar negara mendedahkan beliau kepada dunia moden. Pengalaman menuntut di luar negara telah meletakkan suatu kerangka yang teguh bagi pertumbuhan watak dan peribadinya sebagai pemimpin pragmatis. Kesemua faktor ini secara tidak langsung bergabung membentuk keperibadian Tun Abdul Razak ketika beliau menjadi anggota elit penguasa di Malaysia.

Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan, 1957-1970



Tunku Abdul Rahman lahir di Alor Star, Kedah pada 8 Februari 1903 dari gabungan darah Melayu, Siam dan Burma. Beliau merupakan putera ketujuh Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah dengan isterinya yang keenam Che Manjalara. Pada zaman remajanya, Tunku muncul sebagai seorang anggota elit bangsawan yang sudah biasa dengan kehidupan yang serba mewah.
 Pendidikan formal Tunku bermula ketika usianya enam tahun. Beliau mengikuti pendidikan Inggeris di Sultan Abdul Hamid College Alor Star. Pada tahun 1913, Tunku mengikuti abangnya Tunku Yusof ke Siam dan belajar di sekolah Thebsurian. Setelah Tunku Yusof meninggal dunia pada tahun 1915, Tunku kembali ke Kedah dan dihantar belajar ke Penang Free School Pulau Pinang. Pada 1920, dalam usia yang masih muda Tunku mendapat peluang melanjutkan pelajarannya ke Univesiti Cambridge England dengan biasiswa kerajaan negeri Kedah.
 Selama lebih enam tahun di England dengan pergaulan yang serba luas sudah tentu dapat menyediakan latar yang tersendiri terhadap keperibadian Tunku yang sekaligus memberi impak terhadap dasar luar zaman beliau. Tunku sendiri mengakui kehidupannya di Cambridge sebagai kehidupan yang penuh keseronokan dan nikmat. Beliau tidak perlu bersusah payah berlumba-lumba menaiki kenderaan awam kerana beliau memiliki sebuah kereta sport. Sikap Tunku lebih jelas dapat diterjemah melalui petikan yang dibuat oleh Abdullah Ahmad:
"His royal roots, his many years in England, his pride of being a Malay Prince and a Muslim modernist and reformist, his abiding interest in Islam alongside his love for horseracing, poker, sports, dancing, wine. brandy, cigarettes, cigar, gracious living, a good life and parties, were keys to understanding him as a politician and his policies of the country. His British education and his fondness for British lifestyle had some effect on his perception of Islam".

Sunday, August 22, 2010

Kandungan Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan Persekutuan memiliki 3 aspek yan sangat berkait rapat. Kewibawaan dan kekekalan perlembagaan bergantung kepada penerusan ketiga-tiga aspek ini. Antara aspek tersebut ialah kerohanian perlembagaan, peruntukan perlembagaan dan pelaksanaan perlembagaan. Aspek kerohanian perlembagaan ialah satu working dokumen yang semestinya hidup iaitu mempunyai jiwa idealisme. Kontrak sosial itu tidak akan hidup jika hanya mengandungi saranan undang-undang yang beku.
     Dalam hal ini, kita perlu merujuk kepada 5 prinsip Rukun Negara dan mendalami huraian rasmi prinsip-prinsip tersebut. Harus diingatkan bahawa Rukun Negara itu sendiri terbentuk dalam suasana krisis. Bukan sahaja Akta Keselamatan suasana Dalam Negeri itu diperkuat lagi malah Akta Hasutan juga diperkukuh. Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, Parlimen digantung dan pentadbiran negara dikendalikan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dibentuk melalui Artikel 150. Badan Perundingan MAGERAN telah menurunkan Rukun Negara selaku satu intisari Perlembagaan Malaysia. 
Prinsip-prinsip Rukun Negara ada lima, iaitu:

Huraian dibuat berasaskan tujuan dan matlamat prinsip-prinsip tersebut untuk mewujudkan:
  1. Sebuah negara yang bersatu, iaitu mengatasi masalah dualisme ekonomi.
  2. Sebuah masyarakat berdemokrasi, iaitu menerima hakikat bahawa rakyatlah yang memilih ahli-ahli parlimen dan kerajaan.
  3. Sebuah masyarakat yang adil, iaitu khusus untuk keadilan ekonomi.
  4. Sebuah masyarakat yang liberal, iaitu yang bertolak ansur dan cuba mengelakkan konflik yang berpanjangan
  5. Sebuah masyarakat yang progresif, iaitu keupayaan untuk menggunakan kemahiran sains dan teknologi ke arah pembangunan sosioekonomi negara.

Friday, August 20, 2010

Aspek Peruntukan Perlembagaan

Pada asasnya, Perlembagaan Persekutuan terdapat 181 artikel semuanya. Bentuknya disusun rapi dalam 14 bahagian. Ada bahagian-bahagian yang dipecahkan pula ke bab-bab. Terdapat 19 bab kesemuanya. 181 artikel ini pula dipecahkan ke dalam jadual dan bahagian jadual yang khusus pula. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut:


Bahagian
Tajuk
Perkara
1
Negeri-negeri, agama dan undang-undang bagi persekutuan
1 – 4
2
Kebebasan asasi
5 – 13
3
Kewarganegaraan
Bab 1 – Perolehan kewarganegaraan
Bab 2 – Penamatan kewarganegaraan
Bab 3 – Tambahan
14 – 31
14 – 22
23 – 28A
29 – 31
4
Persekutuan
Bab 1 – Kepala utama negara
Bab 2 – Majlis Raja-raja
Bab 3 – Pemerintahan
Bab 4 – Badan perundangan persekutuan
Bab 5 – Acara perundangan
Bab 6 – Keupayaan terhadap harta, kontrak dan guaman
32 – 69
32 – 37
38
39 – 43
44 – 65
66 – 68
69
5
Negeri-negeri
70 – 72
6
Perhubungan antara persekutuan dengan negeri
Bab 1 – Hal undang-undang persekutuan dan negeri
Bab 2 – Pembahagian kuasa-kuasa pemerintah
Bab 3 – Pembahagian beban kewangan
Bab 4 – Tanah
Bab 5 – Pembangunan negara
Bab 6 – Tinjauan persekutuan, nasihat persekutuan kepada negeri dan pemeriksaan persekutuan mengenai kegiatan-kegiatan negeri.
Bab 7 – Majlis negara bagi kerajaan tempatan
Bab 8 – Pemakaian bagi negeri-negeri Borneo
73 – 95
73 – 79
80 – 81
82
83 – 91
92
93 – 95


95A
95B – 95E
7
Peruntukan-peruntukan kewangan
Bab 1 – Am
Bab 2 – Pemakaian bagi negeri-negeri  Borneo
96 – 112E

(112A – 112E)
8
Pilihan raya
(113 – 120)
9
Kehakiman
(121 – 131A)
10
Perkhidmatan awam
(132 – 148)
11
Kuasa-kuasa khas menentang perbuatan subversif, kekerasan yang dirancang dan perbuatan-perbuatan dan jenayah-jenayah yang memudaratkan awam dan kuasa-kuasa darurat.
(Digantikan oleh Akta A442 mulai 31.12.1978)
(149 – 151)
12
Am dan pelbagai
(152 – 160)
12A
Perlindungan tambahan bagi negeri-negeri Borneo
(161 – 161H)
13
Peruntukan sementara dan peralihan
(162 – 180)
14
Pengecualian bagi kedaulatan raja-raja dan sebagainya
(181)

Isi Kandungan Perlembagaan Persekutuan

Secara keseluruhannya, Perlembagaan Persekutuan mempunyai 183 perkara yang dibahagikan kepada 15 bahagian, iaitu:

Bil
Perkara
1.
Kebebasan hak asasi rakyat.
2.
Kebebasan diri dan kebebasan bergerak.
3.
Kebebasan bercakap, berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan.
4.
Kebebasan beragama.
5.
Kebebasan daripada menjadi abdi dan melakukan kerja paksa.
6.
Perlindungan daripada undang-undang yang berkuasa kebelakangan dan perbicaraan berulang.
7.
Kesamarataan di sisi undang-undang.
8.
Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak (Perkara 153).
9.
Orang Melayu dan kaum Bumiputera diberi hak-hak istimewa dalam pemegangan jawatan perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan pengeluaran permit seta lesen.
10.
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152).
11.
Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu namun tiada sesiapapun boleh dilarang daripada menggunakan (selain maksud rasmi) atau mengajar atau mempelajari bahasa-bahasa lain.
12.
Bahasa Inggeris boleh digunakan bagi maksud-maksud rasmi tertentu seperti perutusan dengan kerajaan luar negeri atau badan-badan antarabangsa.
13.
Kewarganegaraan.
14.
Kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan seseorang yang telah memperoleh kerakyatan negara lain (Perkara 24).
15.
Kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan seseorang sekiranya terbukti dia tidak setia atau tidak suka kepada Malaysia.

Keluhuran Perlembagaan Malaysia

Keluhuran Perlembagaan bererti ketinggian atau keagungan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara Malaysia. Semua undang-undang yang lain tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan yang telah dibentuk. Parlimen pula memperoleh kuasa daripada perlembagaan dan tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara yang berada di luar bidang kuasanya. Meskipun Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara, baginda perlu menjalankan kuasanya mengikut kehendak perlembagaan. Selain itu, kuasa kehakiman mahkamah juga tertakluk kepada kehendak perlembagaan. Oleh itu, tidak terdapat sebarang institusi di Malaysia melainkan Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai kuasa tertinggi.

Latar Belakang Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu digubal oleh sebuah Suruhanjaya Perlembagaan yang ditubuhkan pada bulan Mac 1956. Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dan dianggotai oleh empat orang hakim dari negara Komanwel, iaitu Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William McKell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan).
     Suruhanjaya ini mengemukakan rangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada bulan Februari 1957. Rangka Perlembagaan itu seterusnya dikaji oleh sebuah Jawatankuasa Kerja yang mengandungi 11 orang ahli, iaitu empat orang wakil raja Melayu, empat orang wakil Parti Perikatan, Pesuruhjaya Tinggi British, Setiausaha Persekutuan dan Peguam Negara. Setelah melalui pelbagai proses perbincangan dan penelitian, rangka perlembagaan itu kemudiannya dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Undangan Persekutuan dan diluluskan pada 15 Ogos 1957. Akhirnya, perlembagaan telah dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957.
     Perlembagaan Persekutuan kini mengandungi 183 perkara yang terbahagi kepada 15 bahagian. Perlembagaan ini mengandungi pelbagai perkara seperti kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, bentuk dan tugas Yang di-Pertuan Agung, Parlimen, Kabinet dan Badan Kehakiman serta beberapa peruntukan tentang kewarganegaraan, agama rasmi, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu, perkhidmatan awam, hak asasi rakyat dan pilihan raya.

Kepentingan Perlembagaan

Kepentingan Perlembagaan Persekutuan ialah:
  1. Menjamin kestabilan politik dan sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Perlembagaan menentukan corak pemerintahan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan serta prinsip-prinsip umum cara kuasa tersebut dilaksanakan.
  2. Menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Perlembagaan menentukan hak asasi rakyat seperti kebebasan bercakap, kebebasan beragama dan pemilikan harta. Perlembagaan dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa pemerintahan.
  3. Perlembagaan juga menentukan tanggungjawab rakyat dan batasan atau larangan seperti hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tidak boleh dipersoalkan. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan persengketaan kaum.
  4. Memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara. Perlembagaan melindungi kepentingan semua kaum. Perlembagaan juga menjamin keadilan sosial antara kaum. Hal ini dapat memupuk perpaduan nasional dan mempertingkatkan pembangunan negara.
     Kepentingan perlembagaan di sesebuah negara itu juga mempunyai haluan tertentu. Hal ini demikian kerana, perlembagaan mempunyai undang-undang dasar yang menentukan arah politik negara tersebut. Menerusi perlembagaan, arena politik negara dapat ditentukan dan parti-parti politik pula mengetahui hala tuju semasa memegang kuasa dan mentadbir negara.

Konsep Ketinggian Perlembagaan

Undang-undang Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara. Perlembagaan Persekutuan menjadi punca kepada semua undang-undang samada yang sedia ada atau yang bakal digubal. Perlembagaan ini juga menentukan berbagai-bagai perkara tentang kebebasan asasi, kewarganegaraan, kerajaan persekutuan, perundangan, kedudukan negeri, perkhidmatan awam, kehakiman dan lain-lain lagi. Semua undang-undang yang ada tidak boleh berlawanan dengan perlembagaan. Dengan ini, perlembagaan merupakan dokumen yang mengandungi semua undang-undang tertinggi bagi memerintah negara.
     Kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi amat penting untuk negara yang mengamalkan sistem persekutuan seperti Malaysia. Hal ini memudahkan kerajaan persekutuan menjalankan kuasa pemerintahan dan pentadbiran dengan licin tanpa terpaksa bersaing dengan pihak lain. Seiring dengan kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, parlimen memperoleh kuasanya daripada perlembagaan. Parlimen mempunyai kuasa yang terhad dan tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara-perkara yang berada di luar bidang kuasanya.
     Mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh parlimen jika undang-undang berkenaan berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini bermakna mahkamah juga tertakluk kepada kehendak-kehendak perlembagaan. Walaupun Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua negara, baginda juga tertakluk kepada perlembagaan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati, tetapi harus menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.

Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan yang terkandung dalam Persetujuan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah menjadi asas kepada Perlembagaan Malaysia yang ada pada hari ini. Perlembagaan Malaysia merupakan perlembagaan bertulis yang berlandaskan sistem kerajaan demokrasi berparlimen. Perlembagaan digubal untuk dijadikan garis panduan tentang cara memerintah, sistem politik dan pentadbiran sesebuah negara disamping memberi jaminan perlindungan kepada rakyat. Dalam perlembagaan juga dinyatakan tanggngjawab dan kewajipan setiap warganegara terhadap negara.
     Dalam Perjanjian Persetujuan Persekutuan Tanah Melayu 1948, nama "Persekutuan" telah dicadangkan kepada negara Malaysia yang ada pada masa ini oleh suruhanjaya dan menjadi asas kepada penubuhan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan Perlembagaan dimulakan pada bulan Jun 1956 dan laporan perlembagaan pula siap menjelang bulan Februari 1957. Laporan ini kemudiannya dibahaskan oleh parti politik utama negara ini dan diluluskan oleh Majlis Perundangan dalam bulan Jun pada tahun yang sama.
     Perlembagaan Persekutuan mula dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 apabila Tanah Melayu diisytiharkan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan terdiri daripada semua negeri Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka. Perlembagaan Persekutuan 1957 ini telah dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan bagi negara Malaysia yang diisytiharkan pada 16 September 1963. Kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia menyebabkan Perlembagaan Persekutuan 1957 dipinda dan beberapa pindaan dibuat mengenai bab pemakaian bagi negeri tersebut. Singapura kemudiannya keluar daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 tanpa menjejaskan asas Perlembagaan Malaysia. Sehingga tahun 1985, beberapa pindaan telah dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan serta menyentuh perkara atau fasal tertentu selaras dengan perubahan kehendak, keperluan dan kepentingan kerajaan.

Definisi dan Konsep Perlembagaan

Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting bagi pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Perlembagaan berperanan menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat.
     Perlembagaan ialah suatu kumpulan undang-undang dasar yang menentukan cara pemerintahan sesebuah negara itu dijalankan. Perlembagaan menerangkan kuasa-kuasa yang dipunyai oleh pelbagai anggota negara itu, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan orang yang diperintah.
     Profesor Dicey (dalam Tun Mohd. Salleh Abas, 1997) berpendapat bahawa undang-undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja, iaitu prinsip kedaulatan parlimen dan prinsip undang-undang. Sebagai undang-undang utama di sebuah negara, perlembagaan mengandungi pelbagai peruntukan, antara lain Badan Perundangan iaitu Parlimen, Badan Pemerintah seperti Jemaah Menteri, mahkamah dan lain-lain. Perlembagaan juga mengandungi peruntukan-peruntukan lain seperti kenegaraan, kebebasan asasi, agama, bahasa kebangsaan dan sebagainya.
     Menurut Md. Bohari Ahmad (1997), perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan wujud daripada kehendak keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan untuk menjamin semua yang terkandung di dalam perlembagaan itu. Jika undang-undang yang dikanunkan berlandaskan perlembagaan yang tidak dapat dijalankan atau hak yang dijanjikan di dalamnya tidak dapat ditunaikan, maka perlembagaan itu tidak bermakna. Oleh itu, perlembagaan mestilah dipegang teguh dan seimbang dengan hasrat orang ramai. Yang nyata ialah perlembagaan bukan sahaja merupakan sebuah fikiran atau syor, tetapi merupakan undang-undang agung negara.

Thursday, August 19, 2010

Pengenalan Perlembagaan Malaysia

Jata Negara Malaysia

Setiap negara di dunia mempunyai perlembagaannya sendiri. Reka bentuk perlembagaan pula ada yang bertulis (disusun dalam satu dokumen) seperti perlembagaan di Amerika Syarikat, India, Sri Langka dan Malaysia. Manakala perlembagaan di United Kingdom pula tidak tersusun kerana berasaskan piagam-piagam yang telah dibuat dari semasa ke semasa dan berlaku sejak beberapa kurun yang lalu. Adat resam (convention) juga telah dianggap oleh penduduk negara tersebut sebagai sudah menjadi undang-undang negeri.
     Perlembagaan negara diwujudkan dengan tujuan dan sebab yang berbeza. Contohnya, di United Kingdom, segala piagam seperti Piagam Magna Carta yang dicipta pada tahun 1215 dan Petition of Right pada tahun 1689 berdasarkan peristiwa pertelagahan antara orang bangsawan Inggeris dengan Sultan mereka. Manakala perlembagaan Amerika Syarikat yang diwujudkan pada 1789 bertujuan agar pemerintahan negara tersebut berasaskan demokrasi dan bebas. Tujuannya supaya negeri-negeri yang menjadi ahli persekutuan Amerika Syarikat mendapat layanan yang saksama.
     Malaysia pula merupakan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan keutuhan sempadannya, mempunyai sistem pemerintahan, ideologi kebangsaan, kedaulatan undang-undang, simbol negara, tradisi, adat resam, kesenian dan lain-lain lagi. Wujudnya masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai kesan, pengaruh dan kepentingan terhadap pembentukan perlembagaan negara dan seluruh sistem kehidupan di Malaysia. Dalam topik ini, perkara-perkara seperti konsep Perlembagaan dan nilai-nilai tradisi Perlembagaan Malaysia akan dibincangkan. Hal ini kerana aspek sistem kehidupan meliputi politik, perundangan, pemerintahan, pentadbiran, kebudayaan, kehakiman, ekonomi, pelajaran, bahasa dan lain-lain lagi dibina bagi reka bentuk Perlembagaan Malaysia sendiri.

Ciri-ciri tambahan

Selain empat ciri yang disebutkan sebelum ini, pengiktirafan antarabangsa terhadap sesebuah negara juga memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan sesebuah negara. Hal ini kerana, masyarakat antarabangsa pada masa kini menerima konsep negara sebagai negara yang demokratik bagi mengesahkan kerajaan yang memimpin rakyat atau sesebuah bangsa itu dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Misalnya dalam konteks ini, kita dapat melihat kerajaan-kerajaan yang tidak dipilih atau tidak disukai oleh rakyat tidak dapat bertahan lama dalam arena antarabangsa. Hakikat ini dibuktikan dengan melihat kerajaan-kerajaan sebelum ini seperti kerajaan Taliban di Afghanistan dan kerajaan Apartheid di Afrika Selatan yang ketika dulu tidak dapat kekal lama kerana masyarakat antarabangsa tidak mengikhtiraf kewujudannya. Justeru, pengikhtirafan masyarakat antarabangsa juga amat diperlukan oleh sesebuah negara demi menjamin  kewujudannya dipentas antarabangsa. Berdasarkan ciri-ciri negara yang telah dibincangkan sebelum ini, maka tidak dinafikan bahawa Malaysia ialah sebuah identiti politik yang layak layak dianggap sebagai sebuah negara. 
Maka, berasaskan ciri-ciri negara ini, terdapat beberapa jenis sistem kerajaan yang diamalkan oleh negara-negara di dunia iaitu:
1. Kerajaan persekutuan
2. Kerajaan kesatuan
3. Kerajaan konfederasi
4. Kerajaan republik
5. Kerajaan beraja
6. Kerajaan demokratik

Kedaulatan

Ciri-ciri sesebuah negara juga dipengaruhi oleh faktor kedaulatan. “Kedaulatan” menurut K. Ramanathan (2002) berasal daripada perkataan Latin iaitu superanus yang membawa maksud keunggulan atau keagungan. Dengan kata lain, kedaulatan ialah kuasa sesebuah negara untuk membuat undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang dengan menggunakan segala kuasa yang ada padanya lantaran sifatnya yang mutlak. Kedaulatan dikatakan wujud kerana adanya wilayah. Kedaulatan dibahagikan kepada dua, iaitu kedaulatan politik dan kedaulatan yang sah. Kedaulatan politik ialah kekuasaan rakyat yang berfungsi apabila pilihan raya diadakan untuk memilih kerajaan sementara kedaulatan yang sah ialah kekuasaan tertinggi dalam undang-undang negara dan dimiliki oleh pemerintah. Menurut John Austin, undang-undang ialah kedaulatan yang memperlihatkan kepada kita bahawa aspek undang-undang dengan kedaulatan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Kerajaan

Sesebuah negara mestilah mempunyai kerajaan atau pemerintah. Hal ini kerana, penduduk tetap yang menghuni sesuatu kawasan tadi memerlukan unit yang dinamakan kerajaan untuk mengurus dan mentadbir segala hal yang berkaitan dengan masyarakat berkenaan. Pemerintah atau kerajaan ialah organisasi yang mengatur dan memimpin negara. Tanpa kerajaan, tidak akan wujud sesebuah negara yang dikatakan baik dan sempurna.
     Dalam pada itu, untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang baik dan berkesan, sesebuah kerajaan itu perlu mempunyai kewibawaan dan mempunyai kuasa membuat peraturan dan melaksanakannya dalam masyarakat. Konsep kerajaan dalam erti kata yang sebenar merujuk kepada fungsi-fungsi yang terlibat dalam pengurusan dan perjalanan hal ehwal sesebuah negara. Dalam konteks negara Malaysia, terdapat tiga komponen utama kerajaan iaitu:

1. Badan Perundangan (Legislatif)
Menggubal, meminda atau membatalkan undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada sesiapa pun dan tidak boleh mempunyai kuasa lain.

2. Badan Pemerintah (Eksekutif)
Menjalankan kuasa eksekutif dan tidak bolah membuat undang-undang.

3. Badan Kehakiman (Judisiari)
Mentafsir dan melaksanakan undang-undang dengan kuasa yang diberikan dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif.

Penduduk tetap

Penduduk tetap juga dikenali sebagai warganegara. Penduduk yang dimaksudkan ialah orang yang tinggal di sesebuah negara yang biasanya disatukan oleh suatu kesamaan dan bersama-sama mendiami suatu wilayah. Masyarakat ataupun penduduk yang mendiami wilayah kenegaraan tersebut akan berkongsi beberapa persamaan samada dari sudut nilai, sosial, ekonomi dan juga politik.
     Seseorang rakyat yang menjadi penduduk sesebuah negara mempunyai hak dan tanggungjawab tertentu. Untuk layak menjadi rakyat sesebuah negara, seseorang itu harus mempunyai atau memenuhi syarat-syarat atau kewajipan-kewajipan seperti tinggal tetap di wilayah tertentu (bermastautin), cukup umur (bergantung kepada sesebuah negara), jantina, bangsa, dan agama. Misalnya di negara Arab, hanya penduduk yang beragama Islam sahaja mempunyai hak untuk mengundi. 
     Negara dalam ilmu sains politik pula berbeza dengan pertubuhan kerana keahlian dalam negara tidak secara sukarela dan seseorang tidak boleh berpaling tadah walaupun telah berhijrah dan menetap di negara lain.

Sempadan

Sempadan dikenali juga sebagai wilayah. Sempadan dalam konteks ini merangkumi sempadan tanah daratan, air dan udara. Setiap negara mempunyai sempadan/ kawasan/ wilayah yang tersendiri yang dihuni oleh penduduk atau rakyat negara itu. Dalam hal ini, keluasan sesebuah negara atau jumlah penduduknya tidaklah menjadi persoalan penting dalam mewujudkan sebuah identiti politik yang dinamakan negara itu. Contohnya, Singapura dan Brunei Darussalam tetap dianggap sebagai negara walaupun kedua-dua negara tersebut memiliki keluasan wilayah dan jumlah penduduk yang kecil.
     Kesempadanan atau kewilayahan sesebuah negara bukan sahaja merangkumi kawasan tetapi juga melibatkan persekitaran sekeliling seperti sumber alam yang mencakupi wilayah geografi, udara dan laut. Selain itu, Malaysia juga mempunyai sempadan tanah, daratan dan laut antarabangsa seperti Thailand, Singapura dan juga Indonesia. Sempadan-sempadan yang wujud ini akan membatasi kuasa dan hak sesebuah negara untuk melakukan sebarang perkara di luar sempadan wilayahnya. Sekiranya batasan ini dilanggar oleh sesebuah negara, maka negara tersebut dianggap telah menceroboh wilayah negara yang lain.

Maksud dan Konsep kenegaraan

Istilah dan konsep asas yang perlu diberi perhatian:

Negara
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan "negara" sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan, kawasan yang dibawah kekuasaan kerajaan tertentu dan segala yang berkaitan dengan negara (masyarakat dan kawasan di bawah satu kerajaan). Istilah "negara" atau state selalunya dihubungkan dengan bangsa, masyarakat, kerajaan dan sebagainya. Namun dalam pengertian ilmu sains politik, istilah-istilah itu mempunyai definisi yang berbeza bergantung kepada konteks penggunaannya.
     Maksud negara juga merujuk kepada sekumpulan manusia yang mendiami wilayah atau daerah tertentu di bawah undang-undang dan kuasa pemerintahan. Konsep negara menurut undang-undang antarabangsa ialah sesuatu masyarakat politik atau wilayah layak dianggap sebagai sebuah negara sekiranya mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Sempadan (Wilayah)
2. Penduduk tetap
3. Kerajaan
4. Kedaulatan






Wednesday, August 18, 2010

Pengenalan Kenegaraan

Kenegaraan Malaysia ialah pengajian yang berkaitan dengan masyarakat, budaya, sosial, politik, ekonomi dan sejarah Malaysia. Istilah "kenegaraan" secara umum membincangkan hal ehwal sesebuah negara. Kenegaraan Malaysia bukan sahaja suatu usaha memberikan kefahaman tentang latar belakang sejarah negara tetapi lebih daripada itu. Kenegaraan Malaysia merangkumi pembinaan negara bangsa Malaysia itu sendiri dan seterusnya penghayatan yang wajib ada di dalam diri dan sanubari rakyat Malaysia yang akan digunakan sebagai pedoman dan amalan hidup. Oleh yang demikian, perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah Malaysia, sistem pemerintahan Malaysia, pembangunan negara dan pembinaan negara bangsa akan turut dihuraikan dalam topik ini. Topik ini amat penting dan perlu dihayati oleh setiap warganegara Malaysia.

Sumber Rujukan

Mohd Shariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin dan Ahmad Sohaimi Lazim (2009). Kenegaraan dan Ketamadunan. Diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Faridah Jaafar (2007). Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2995. Diterbitkan oleh Universiti malaya.

Wu Min Aun (1981). Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Diterbitkan oleh Heinemann Educational Book (Asia) Ltd. Singapura. Hong Kong.

Lagu rasmi Negara Malaysia