Friday, August 20, 2010

Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan yang terkandung dalam Persetujuan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah menjadi asas kepada Perlembagaan Malaysia yang ada pada hari ini. Perlembagaan Malaysia merupakan perlembagaan bertulis yang berlandaskan sistem kerajaan demokrasi berparlimen. Perlembagaan digubal untuk dijadikan garis panduan tentang cara memerintah, sistem politik dan pentadbiran sesebuah negara disamping memberi jaminan perlindungan kepada rakyat. Dalam perlembagaan juga dinyatakan tanggngjawab dan kewajipan setiap warganegara terhadap negara.
     Dalam Perjanjian Persetujuan Persekutuan Tanah Melayu 1948, nama "Persekutuan" telah dicadangkan kepada negara Malaysia yang ada pada masa ini oleh suruhanjaya dan menjadi asas kepada penubuhan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan Perlembagaan dimulakan pada bulan Jun 1956 dan laporan perlembagaan pula siap menjelang bulan Februari 1957. Laporan ini kemudiannya dibahaskan oleh parti politik utama negara ini dan diluluskan oleh Majlis Perundangan dalam bulan Jun pada tahun yang sama.
     Perlembagaan Persekutuan mula dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 apabila Tanah Melayu diisytiharkan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan terdiri daripada semua negeri Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka. Perlembagaan Persekutuan 1957 ini telah dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan bagi negara Malaysia yang diisytiharkan pada 16 September 1963. Kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia menyebabkan Perlembagaan Persekutuan 1957 dipinda dan beberapa pindaan dibuat mengenai bab pemakaian bagi negeri tersebut. Singapura kemudiannya keluar daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 tanpa menjejaskan asas Perlembagaan Malaysia. Sehingga tahun 1985, beberapa pindaan telah dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan serta menyentuh perkara atau fasal tertentu selaras dengan perubahan kehendak, keperluan dan kepentingan kerajaan.

0 comments:

Post a Comment

Sumber Rujukan

Mohd Shariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin dan Ahmad Sohaimi Lazim (2009). Kenegaraan dan Ketamadunan. Diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Faridah Jaafar (2007). Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2995. Diterbitkan oleh Universiti malaya.

Wu Min Aun (1981). Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Diterbitkan oleh Heinemann Educational Book (Asia) Ltd. Singapura. Hong Kong.

Lagu rasmi Negara Malaysia