Friday, August 20, 2010

Definisi dan Konsep Perlembagaan

Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting bagi pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Perlembagaan berperanan menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat.
     Perlembagaan ialah suatu kumpulan undang-undang dasar yang menentukan cara pemerintahan sesebuah negara itu dijalankan. Perlembagaan menerangkan kuasa-kuasa yang dipunyai oleh pelbagai anggota negara itu, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan orang yang diperintah.
     Profesor Dicey (dalam Tun Mohd. Salleh Abas, 1997) berpendapat bahawa undang-undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja, iaitu prinsip kedaulatan parlimen dan prinsip undang-undang. Sebagai undang-undang utama di sebuah negara, perlembagaan mengandungi pelbagai peruntukan, antara lain Badan Perundangan iaitu Parlimen, Badan Pemerintah seperti Jemaah Menteri, mahkamah dan lain-lain. Perlembagaan juga mengandungi peruntukan-peruntukan lain seperti kenegaraan, kebebasan asasi, agama, bahasa kebangsaan dan sebagainya.
     Menurut Md. Bohari Ahmad (1997), perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan wujud daripada kehendak keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan untuk menjamin semua yang terkandung di dalam perlembagaan itu. Jika undang-undang yang dikanunkan berlandaskan perlembagaan yang tidak dapat dijalankan atau hak yang dijanjikan di dalamnya tidak dapat ditunaikan, maka perlembagaan itu tidak bermakna. Oleh itu, perlembagaan mestilah dipegang teguh dan seimbang dengan hasrat orang ramai. Yang nyata ialah perlembagaan bukan sahaja merupakan sebuah fikiran atau syor, tetapi merupakan undang-undang agung negara.

0 comments:

Post a Comment

Sumber Rujukan

Mohd Shariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin dan Ahmad Sohaimi Lazim (2009). Kenegaraan dan Ketamadunan. Diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Faridah Jaafar (2007). Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2995. Diterbitkan oleh Universiti malaya.

Wu Min Aun (1981). Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Diterbitkan oleh Heinemann Educational Book (Asia) Ltd. Singapura. Hong Kong.

Lagu rasmi Negara Malaysia