Friday, August 20, 2010

Konsep Ketinggian Perlembagaan

Undang-undang Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara. Perlembagaan Persekutuan menjadi punca kepada semua undang-undang samada yang sedia ada atau yang bakal digubal. Perlembagaan ini juga menentukan berbagai-bagai perkara tentang kebebasan asasi, kewarganegaraan, kerajaan persekutuan, perundangan, kedudukan negeri, perkhidmatan awam, kehakiman dan lain-lain lagi. Semua undang-undang yang ada tidak boleh berlawanan dengan perlembagaan. Dengan ini, perlembagaan merupakan dokumen yang mengandungi semua undang-undang tertinggi bagi memerintah negara.
     Kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi amat penting untuk negara yang mengamalkan sistem persekutuan seperti Malaysia. Hal ini memudahkan kerajaan persekutuan menjalankan kuasa pemerintahan dan pentadbiran dengan licin tanpa terpaksa bersaing dengan pihak lain. Seiring dengan kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, parlimen memperoleh kuasanya daripada perlembagaan. Parlimen mempunyai kuasa yang terhad dan tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara-perkara yang berada di luar bidang kuasanya.
     Mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh parlimen jika undang-undang berkenaan berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini bermakna mahkamah juga tertakluk kepada kehendak-kehendak perlembagaan. Walaupun Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua negara, baginda juga tertakluk kepada perlembagaan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati, tetapi harus menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.

0 comments:

Post a Comment

Sumber Rujukan

Mohd Shariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin dan Ahmad Sohaimi Lazim (2009). Kenegaraan dan Ketamadunan. Diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Faridah Jaafar (2007). Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2995. Diterbitkan oleh Universiti malaya.

Wu Min Aun (1981). Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Diterbitkan oleh Heinemann Educational Book (Asia) Ltd. Singapura. Hong Kong.

Lagu rasmi Negara Malaysia