Jata Negara Malaysia |
Setiap negara di dunia mempunyai perlembagaannya sendiri. Reka bentuk perlembagaan pula ada yang bertulis (disusun dalam satu dokumen) seperti perlembagaan di Amerika Syarikat, India, Sri Langka dan Malaysia. Manakala perlembagaan di United Kingdom pula tidak tersusun kerana berasaskan piagam-piagam yang telah dibuat dari semasa ke semasa dan berlaku sejak beberapa kurun yang lalu. Adat resam (convention) juga telah dianggap oleh penduduk negara tersebut sebagai sudah menjadi undang-undang negeri.
Perlembagaan negara diwujudkan dengan tujuan dan sebab yang berbeza. Contohnya, di United Kingdom, segala piagam seperti Piagam Magna Carta yang dicipta pada tahun 1215 dan Petition of Right pada tahun 1689 berdasarkan peristiwa pertelagahan antara orang bangsawan Inggeris dengan Sultan mereka. Manakala perlembagaan Amerika Syarikat yang diwujudkan pada 1789 bertujuan agar pemerintahan negara tersebut berasaskan demokrasi dan bebas. Tujuannya supaya negeri-negeri yang menjadi ahli persekutuan Amerika Syarikat mendapat layanan yang saksama.
Malaysia pula merupakan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan keutuhan sempadannya, mempunyai sistem pemerintahan, ideologi kebangsaan, kedaulatan undang-undang, simbol negara, tradisi, adat resam, kesenian dan lain-lain lagi. Wujudnya masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai kesan, pengaruh dan kepentingan terhadap pembentukan perlembagaan negara dan seluruh sistem kehidupan di Malaysia. Dalam topik ini, perkara-perkara seperti konsep Perlembagaan dan nilai-nilai tradisi Perlembagaan Malaysia akan dibincangkan. Hal ini kerana aspek sistem kehidupan meliputi politik, perundangan, pemerintahan, pentadbiran, kebudayaan, kehakiman, ekonomi, pelajaran, bahasa dan lain-lain lagi dibina bagi reka bentuk Perlembagaan Malaysia sendiri.
0 comments:
Post a Comment