Showing posts with label Maksud dan Konsep asas kenegaraan. Show all posts
Showing posts with label Maksud dan Konsep asas kenegaraan. Show all posts

Thursday, August 19, 2010

Ciri-ciri tambahan

Selain empat ciri yang disebutkan sebelum ini, pengiktirafan antarabangsa terhadap sesebuah negara juga memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan sesebuah negara. Hal ini kerana, masyarakat antarabangsa pada masa kini menerima konsep negara sebagai negara yang demokratik bagi mengesahkan kerajaan yang memimpin rakyat atau sesebuah bangsa itu dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Misalnya dalam konteks ini, kita dapat melihat kerajaan-kerajaan yang tidak dipilih atau tidak disukai oleh rakyat tidak dapat bertahan lama dalam arena antarabangsa. Hakikat ini dibuktikan dengan melihat kerajaan-kerajaan sebelum ini seperti kerajaan Taliban di Afghanistan dan kerajaan Apartheid di Afrika Selatan yang ketika dulu tidak dapat kekal lama kerana masyarakat antarabangsa tidak mengikhtiraf kewujudannya. Justeru, pengikhtirafan masyarakat antarabangsa juga amat diperlukan oleh sesebuah negara demi menjamin  kewujudannya dipentas antarabangsa. Berdasarkan ciri-ciri negara yang telah dibincangkan sebelum ini, maka tidak dinafikan bahawa Malaysia ialah sebuah identiti politik yang layak layak dianggap sebagai sebuah negara. 
Maka, berasaskan ciri-ciri negara ini, terdapat beberapa jenis sistem kerajaan yang diamalkan oleh negara-negara di dunia iaitu:
1. Kerajaan persekutuan
2. Kerajaan kesatuan
3. Kerajaan konfederasi
4. Kerajaan republik
5. Kerajaan beraja
6. Kerajaan demokratik

Kedaulatan

Ciri-ciri sesebuah negara juga dipengaruhi oleh faktor kedaulatan. “Kedaulatan” menurut K. Ramanathan (2002) berasal daripada perkataan Latin iaitu superanus yang membawa maksud keunggulan atau keagungan. Dengan kata lain, kedaulatan ialah kuasa sesebuah negara untuk membuat undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang dengan menggunakan segala kuasa yang ada padanya lantaran sifatnya yang mutlak. Kedaulatan dikatakan wujud kerana adanya wilayah. Kedaulatan dibahagikan kepada dua, iaitu kedaulatan politik dan kedaulatan yang sah. Kedaulatan politik ialah kekuasaan rakyat yang berfungsi apabila pilihan raya diadakan untuk memilih kerajaan sementara kedaulatan yang sah ialah kekuasaan tertinggi dalam undang-undang negara dan dimiliki oleh pemerintah. Menurut John Austin, undang-undang ialah kedaulatan yang memperlihatkan kepada kita bahawa aspek undang-undang dengan kedaulatan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Kerajaan

Sesebuah negara mestilah mempunyai kerajaan atau pemerintah. Hal ini kerana, penduduk tetap yang menghuni sesuatu kawasan tadi memerlukan unit yang dinamakan kerajaan untuk mengurus dan mentadbir segala hal yang berkaitan dengan masyarakat berkenaan. Pemerintah atau kerajaan ialah organisasi yang mengatur dan memimpin negara. Tanpa kerajaan, tidak akan wujud sesebuah negara yang dikatakan baik dan sempurna.
     Dalam pada itu, untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang baik dan berkesan, sesebuah kerajaan itu perlu mempunyai kewibawaan dan mempunyai kuasa membuat peraturan dan melaksanakannya dalam masyarakat. Konsep kerajaan dalam erti kata yang sebenar merujuk kepada fungsi-fungsi yang terlibat dalam pengurusan dan perjalanan hal ehwal sesebuah negara. Dalam konteks negara Malaysia, terdapat tiga komponen utama kerajaan iaitu:

1. Badan Perundangan (Legislatif)
Menggubal, meminda atau membatalkan undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada sesiapa pun dan tidak boleh mempunyai kuasa lain.

2. Badan Pemerintah (Eksekutif)
Menjalankan kuasa eksekutif dan tidak bolah membuat undang-undang.

3. Badan Kehakiman (Judisiari)
Mentafsir dan melaksanakan undang-undang dengan kuasa yang diberikan dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif.

Penduduk tetap

Penduduk tetap juga dikenali sebagai warganegara. Penduduk yang dimaksudkan ialah orang yang tinggal di sesebuah negara yang biasanya disatukan oleh suatu kesamaan dan bersama-sama mendiami suatu wilayah. Masyarakat ataupun penduduk yang mendiami wilayah kenegaraan tersebut akan berkongsi beberapa persamaan samada dari sudut nilai, sosial, ekonomi dan juga politik.
     Seseorang rakyat yang menjadi penduduk sesebuah negara mempunyai hak dan tanggungjawab tertentu. Untuk layak menjadi rakyat sesebuah negara, seseorang itu harus mempunyai atau memenuhi syarat-syarat atau kewajipan-kewajipan seperti tinggal tetap di wilayah tertentu (bermastautin), cukup umur (bergantung kepada sesebuah negara), jantina, bangsa, dan agama. Misalnya di negara Arab, hanya penduduk yang beragama Islam sahaja mempunyai hak untuk mengundi. 
     Negara dalam ilmu sains politik pula berbeza dengan pertubuhan kerana keahlian dalam negara tidak secara sukarela dan seseorang tidak boleh berpaling tadah walaupun telah berhijrah dan menetap di negara lain.

Sempadan

Sempadan dikenali juga sebagai wilayah. Sempadan dalam konteks ini merangkumi sempadan tanah daratan, air dan udara. Setiap negara mempunyai sempadan/ kawasan/ wilayah yang tersendiri yang dihuni oleh penduduk atau rakyat negara itu. Dalam hal ini, keluasan sesebuah negara atau jumlah penduduknya tidaklah menjadi persoalan penting dalam mewujudkan sebuah identiti politik yang dinamakan negara itu. Contohnya, Singapura dan Brunei Darussalam tetap dianggap sebagai negara walaupun kedua-dua negara tersebut memiliki keluasan wilayah dan jumlah penduduk yang kecil.
     Kesempadanan atau kewilayahan sesebuah negara bukan sahaja merangkumi kawasan tetapi juga melibatkan persekitaran sekeliling seperti sumber alam yang mencakupi wilayah geografi, udara dan laut. Selain itu, Malaysia juga mempunyai sempadan tanah, daratan dan laut antarabangsa seperti Thailand, Singapura dan juga Indonesia. Sempadan-sempadan yang wujud ini akan membatasi kuasa dan hak sesebuah negara untuk melakukan sebarang perkara di luar sempadan wilayahnya. Sekiranya batasan ini dilanggar oleh sesebuah negara, maka negara tersebut dianggap telah menceroboh wilayah negara yang lain.

Maksud dan Konsep kenegaraan

Istilah dan konsep asas yang perlu diberi perhatian:

Negara
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan "negara" sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan, kawasan yang dibawah kekuasaan kerajaan tertentu dan segala yang berkaitan dengan negara (masyarakat dan kawasan di bawah satu kerajaan). Istilah "negara" atau state selalunya dihubungkan dengan bangsa, masyarakat, kerajaan dan sebagainya. Namun dalam pengertian ilmu sains politik, istilah-istilah itu mempunyai definisi yang berbeza bergantung kepada konteks penggunaannya.
     Maksud negara juga merujuk kepada sekumpulan manusia yang mendiami wilayah atau daerah tertentu di bawah undang-undang dan kuasa pemerintahan. Konsep negara menurut undang-undang antarabangsa ialah sesuatu masyarakat politik atau wilayah layak dianggap sebagai sebuah negara sekiranya mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Sempadan (Wilayah)
2. Penduduk tetap
3. Kerajaan
4. Kedaulatan






Sumber Rujukan

Mohd Shariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin dan Ahmad Sohaimi Lazim (2009). Kenegaraan dan Ketamadunan. Diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Faridah Jaafar (2007). Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2995. Diterbitkan oleh Universiti malaya.

Wu Min Aun (1981). Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Diterbitkan oleh Heinemann Educational Book (Asia) Ltd. Singapura. Hong Kong.

Lagu rasmi Negara Malaysia